Selasa, 27 Mac 2012

Perubahan guna tanah


Seiring dengan arus pembangunan yang pesat, guna tanah juga akan mengalami perubahan mengikut keperluan semasa. Kawasan bandar dan pekan adalah kawasan yang paling pesat berkembang. Perkembangan ini menyebabkan penggabungan dengan kawasan sekitarnya mengubah guna tanah kawasan sekitarnya kepada guna tanah bandar untuk pembinaan infrastruktur bangunan pejabat, kedai, kediaman dan infrastruktur lain. Penimbusan kawasan laut bagi manambahkan keluasan bandar juga mampu mengubah guna tanah. Bagi menimbus kawasan laut, banyak bahan yang digunakan seperti tanah, pasir dan batu. Pengambilan bahan ini daripada tempat asalnya sudah pasti akan mengubah guna tanahnya. Perkembangan bandar juga membawa kepada lebih banyak jaringan jalan raya dan lebuh raya bagi memudahkan perhubungan. Bagi tujuan ini, guna tanah seperti guna tanah hutan dikorbankan untuk pembinaan jalan raya.
         Pertambahan dalam bilangan penduduk menyebabkan permintaan terhadap rumah kediaman meningkat. Ini menyebabkan kerajaan membina lebih banyak kediaman bagi memenuhi keperluan ini. Kesannya, guna tanah lain terpaksa dikorbankan bagi tujuan ini. Kemasukan golongan imigran yang ramai ke dalam negara ini menyebabkan kewujudan petempatan haram yang nyatanya mengubah guna tanah yang terdapat di kawasan itu. Golongan ini selalunya memilih tempat-tempat terpencil seperti kawasan hutan belukar dan paya bakau bagi membina petempatan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
         Perubahan guna tanah menimbulkan pelbagai masalah lain seperti kekurangan kawasan pertanian akibat pembinaan. Pembinaan infrastruktur bangunan akan lebih diutamakan berbanding pertanian kerana ia memberikan pulangan yang lebih tinggi disamping mengikuti arus pembangunan global yang kian pesat. Masalah lain seperti pengambilan tanah oleh kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), masalah tuntutan bertindih dan banyak lagi masalah lain juga berlaku. Oleh itu penduduk perlu sedar tentang perubahan yang berlaku disekitar mereka khususnya yang tinggal di sekitar bandar dan pekan bagi mengelakkan masalah seperti yang dinyatakan.

Tanah


Tanah merupakan salah satu sumber semulajadi yang sangat berharga dan sangat terhad. Ini kerana tanah yang membentuk daratan hanya meliputi 30% sahaja permukaan bumi dan selebihnya diliputi oleh lautan. Disebabkan keadaannya yang terhad, maka adalah penting untuk kita mengolah dan menggunakan sumber ini secara bijak agar kita dapat memperoleh manfaat yang optimum daripadanya. Peningkatan populasi penduduk setiap tahun membawa kepada peningkatan permintaan tanah. Ianya berlaku berikutan kepada keperluan tapak untuk tujuan pembinaan seperti kawasan perindustrian bagi membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran, pembinaan jalan raya bagi perhubungan yang lebih baik antara kawasan, kawasan perumahan bagi menampung jumlah penduduk yang ramai dan banyak lagi infrastruktur lain yang dibina bagi menjamin kehidupan yang selesa kepada penduduk.  Tahap pembangunan yang semakin pesat kesan daripada pertumbuhan pesat populasi manusia menyebabkan tekanan yang kuat terhadap sumber tanah.
Arus pembangunan yang semakin berkembang menyebabkan perkembangan kepada bandar, pekan dan kampung. Perkembangan ini mengubah luas dan saiz kawasan. Bukan setakat itu sahaja, guna tanah kawasan sekitar juga akan turut berubah. Perebakan kawasan akan menghubungkannya dengan kawasan lain, sebagai contoh perebakan kawasan bandar akan menyebabkan pertembungan dengan sempadan kawasan sekitar seperti pekan atau kampung. Jenis gunatanah juga akan turut berubah kerana biasanya guna tanah disekitar bandar adalah untuk tujuan pertanian. Tetapi disebabkan perkembangan yang berlaku, guna tanah untuk pertanian terpaksa dikorbankan untuk tujuan lain seperti pembinaan petempatan atau infrastruktur lain.
Perkembangan merupakan suatu perkara yang baik dan menunjukkan suatu kemajuan sedang dicapai. Tetapi ia perlulah dirancang dengan teliti dan diseimbangkan dengan keperluan guna tanah yang lain agar tiada kesan negatif yang berlaku. Peningkatan dalam populasi penduduk dunia menyebabkan permintaan terhadap makanan turut meningkat. Keadaan ini menimbulkan konflik dan persoalan tentang guna tanah mana yang perlu diutamakan. Disebabkan tanah adalah terhad, keperluan terhadap guna tanah pertanian dan petempatan adalah sama-sama penting.
Dasar kerajaan juga menjadi penentu kepada perubahan guna tanah. Kebanyakan negara pada masa kini lebih mengutamakan dasar pembangunan berikutan arus pembangunan global yang semakin pesat dan demi meningkatkan status negara kepada negara maju. Bagi mencapai tujuan ini maka guna tanah lain dikorbankan bagi tujuan pembangunan.

Isnin, 19 Mac 2012

Globalisasi


Menurut Stutz, Frederick dan Waft, Barney (2012), globalisasi merupakan suatu proses yang kompleks dan penting kerana ia mampu mengubah ekonomi dunia dan masyarakat menjadi lebih berintegrasi dan saling bergantungan antara satu sama lain. Ia bertindak sebagai pemangkin yang membantu mengembangkan skop, skala dan kelajuan transaksi ke peringkat antarabangsa. Ia merupakan satu cara untuk menerangkan pergerakan modal, manusia, barangan dan idea dalam kalangan atau antara bahagian lain di dunia.
         Globalisasi membolehkan kita mempelajari dan mengetahui budaya bangsa lain di dunia. Contoh paling mudah adalah makanan kerana makanan juga boleh menunjukkan budaya. Makanan berasaskan kari misalnya yang berasal daripada India. Tanpa adanya globalisasi, kita hanya dapat menikmati makanan ini di tempat asalnya sahaja. Tetapi globalisasi membolehkan kita menikmati makanan ini hampir di mana-mana sahaja di seluruh dunia.
         Jika dilihat dari segi kepentingan ekonomi, globalisasi membolehkan perniagaan eksport dan import bertambah maju dan mudah. Urusan perniagaan menjadi lebih mudah hasil sebaran maklumat dan pengangkutan yang menghubungkan antara negara diseluruh dunia. Pelaburan asing juga bertambah dan memberi manfaat yang besar kepada negara. Ini semua hasil daripada globalisasi yang menggalakkan pelaburan daripada luar ke dalam negara. Dengan adanya pertambahan pelaburan, maka lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan kerana pembinaan lebih banyak kilang-kilang baru. Syarikat transnasional juga mendapat manfaat yang lebih kerana dapat beroperasi di luar negara bagi mendapatkan lebih banyak keuntungan. Syarikat makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken (KFC), McDonald dan Pizza Hut mendapat keuntungan yang lebih hasil daripada globalisasi. Selain keuntungan, ia juga satu cara yang baik untuk mempromosikan suatu jenama.  
         Pada masa kini, maklumat boleh diperolehi hanya dengan menekan satu butang sahaja. Globalisasi membolehkan hebahan maklumat dengan lebih cepat merentasi sempadan antarabangsa. Penciptaan televisyen, radio, telefon bimbit, dan komputer menjadikan semua tempat di dunia dapat menerima maklumat. Globalisasi membolehkan kita mengetahui berita atau peristiwa yang berlaku di tempat lain hampir setiap masa kerana kepantasan hebahan maklumat hasil daripada globalisasi.
                  Pembangunan adalah tahap pencapaian sesebuah negara. Ia boleh dilihat daripada pelbagai aspek seperti pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial. Pembangunan dikatakan berlaku apabila ekonomi negara berjaya berkembang di mana berlaku peningkatan dalam pendapatan negara. Dengan penambahan dalam pendapatan negara bermakna modal juga bertambah dan ini membolehkan lebih banyak infrastruktur bangunan dapat dibina. Pembukaan lebih banyak projek-projek pembinaan menjadikan lebih banyak peluang pekerjaan dibuka dan mengurangkan pengangguran dalam negara seterusnya menaikkan taraf sosial rakyat. Kesemua hasil pembangunan tidak akan dapat dicapai dengan mudah tanpa adanya globalisasi. Seperti yang telah dinyatakan, globalissasi merupakan pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara.
         Globalisasi merupakan proses yang penting kerana tanpanya kita tidak akan dapat berhubung dengan masyarakat lain diseluruh dunia dengan mudah dan bebas. Perniagaan juga tidak akan dapat berkembang dengan baik tanpa adanya globalisasi.