Selasa, 27 Mac 2012

Perubahan guna tanah


Seiring dengan arus pembangunan yang pesat, guna tanah juga akan mengalami perubahan mengikut keperluan semasa. Kawasan bandar dan pekan adalah kawasan yang paling pesat berkembang. Perkembangan ini menyebabkan penggabungan dengan kawasan sekitarnya mengubah guna tanah kawasan sekitarnya kepada guna tanah bandar untuk pembinaan infrastruktur bangunan pejabat, kedai, kediaman dan infrastruktur lain. Penimbusan kawasan laut bagi manambahkan keluasan bandar juga mampu mengubah guna tanah. Bagi menimbus kawasan laut, banyak bahan yang digunakan seperti tanah, pasir dan batu. Pengambilan bahan ini daripada tempat asalnya sudah pasti akan mengubah guna tanahnya. Perkembangan bandar juga membawa kepada lebih banyak jaringan jalan raya dan lebuh raya bagi memudahkan perhubungan. Bagi tujuan ini, guna tanah seperti guna tanah hutan dikorbankan untuk pembinaan jalan raya.
         Pertambahan dalam bilangan penduduk menyebabkan permintaan terhadap rumah kediaman meningkat. Ini menyebabkan kerajaan membina lebih banyak kediaman bagi memenuhi keperluan ini. Kesannya, guna tanah lain terpaksa dikorbankan bagi tujuan ini. Kemasukan golongan imigran yang ramai ke dalam negara ini menyebabkan kewujudan petempatan haram yang nyatanya mengubah guna tanah yang terdapat di kawasan itu. Golongan ini selalunya memilih tempat-tempat terpencil seperti kawasan hutan belukar dan paya bakau bagi membina petempatan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
         Perubahan guna tanah menimbulkan pelbagai masalah lain seperti kekurangan kawasan pertanian akibat pembinaan. Pembinaan infrastruktur bangunan akan lebih diutamakan berbanding pertanian kerana ia memberikan pulangan yang lebih tinggi disamping mengikuti arus pembangunan global yang kian pesat. Masalah lain seperti pengambilan tanah oleh kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), masalah tuntutan bertindih dan banyak lagi masalah lain juga berlaku. Oleh itu penduduk perlu sedar tentang perubahan yang berlaku disekitar mereka khususnya yang tinggal di sekitar bandar dan pekan bagi mengelakkan masalah seperti yang dinyatakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan