Menurut Stutz, Frederick dan Waft,
Barney (2012), globalisasi merupakan suatu proses yang kompleks dan penting
kerana ia mampu mengubah ekonomi dunia dan masyarakat menjadi lebih
berintegrasi dan saling bergantungan antara satu sama lain. Ia bertindak
sebagai pemangkin yang membantu mengembangkan skop, skala dan kelajuan
transaksi ke peringkat antarabangsa. Ia merupakan satu cara untuk menerangkan
pergerakan modal, manusia, barangan dan idea dalam kalangan atau antara
bahagian lain di dunia.
Globalisasi
membolehkan kita mempelajari dan mengetahui budaya bangsa lain di dunia. Contoh
paling mudah adalah makanan kerana makanan juga boleh menunjukkan budaya.
Makanan berasaskan kari misalnya yang berasal daripada India. Tanpa adanya
globalisasi, kita hanya dapat menikmati makanan ini di tempat asalnya sahaja. Tetapi
globalisasi membolehkan kita menikmati makanan ini hampir di mana-mana sahaja
di seluruh dunia.
Jika
dilihat dari segi kepentingan ekonomi, globalisasi membolehkan perniagaan
eksport dan import bertambah maju dan mudah. Urusan perniagaan menjadi lebih
mudah hasil sebaran maklumat dan pengangkutan yang menghubungkan antara negara
diseluruh dunia. Pelaburan asing juga bertambah dan memberi manfaat yang besar
kepada negara. Ini semua hasil daripada globalisasi yang menggalakkan pelaburan
daripada luar ke dalam negara. Dengan adanya pertambahan pelaburan, maka lebih
banyak peluang pekerjaan ditawarkan kerana pembinaan lebih banyak kilang-kilang
baru. Syarikat transnasional juga mendapat manfaat yang lebih kerana dapat
beroperasi di luar negara bagi mendapatkan lebih banyak keuntungan. Syarikat
makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken (KFC), McDonald dan Pizza Hut
mendapat keuntungan yang lebih hasil daripada globalisasi. Selain keuntungan,
ia juga satu cara yang baik untuk mempromosikan suatu jenama.
Pada
masa kini, maklumat boleh diperolehi hanya dengan menekan satu butang sahaja.
Globalisasi membolehkan hebahan maklumat dengan lebih cepat merentasi sempadan
antarabangsa. Penciptaan televisyen, radio, telefon bimbit, dan komputer
menjadikan semua tempat di dunia dapat menerima maklumat. Globalisasi
membolehkan kita mengetahui berita atau peristiwa yang berlaku di tempat lain
hampir setiap masa kerana kepantasan hebahan maklumat hasil daripada
globalisasi.
Pembangunan adalah tahap pencapaian
sesebuah negara. Ia boleh dilihat daripada pelbagai aspek seperti pembangunan
infrastruktur, ekonomi dan sosial. Pembangunan dikatakan berlaku apabila
ekonomi negara berjaya berkembang di mana berlaku peningkatan dalam pendapatan
negara. Dengan penambahan dalam pendapatan negara bermakna modal juga bertambah
dan ini membolehkan lebih banyak infrastruktur bangunan dapat dibina. Pembukaan
lebih banyak projek-projek pembinaan menjadikan lebih banyak peluang pekerjaan
dibuka dan mengurangkan pengangguran dalam negara seterusnya menaikkan taraf
sosial rakyat. Kesemua hasil pembangunan tidak akan dapat dicapai dengan mudah
tanpa adanya globalisasi. Seperti yang telah dinyatakan, globalissasi merupakan
pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara.
Globalisasi
merupakan proses yang penting kerana tanpanya kita tidak akan dapat berhubung
dengan masyarakat lain diseluruh dunia dengan mudah dan bebas. Perniagaan juga
tidak akan dapat berkembang dengan baik tanpa adanya globalisasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan