Tanah merupakan salah satu sumber
semulajadi yang sangat berharga dan sangat terhad. Ini kerana tanah yang
membentuk daratan hanya meliputi 30% sahaja permukaan bumi dan selebihnya
diliputi oleh lautan. Disebabkan keadaannya yang terhad, maka adalah penting
untuk kita mengolah dan menggunakan sumber ini secara bijak agar kita dapat
memperoleh manfaat yang optimum daripadanya. Peningkatan populasi penduduk
setiap tahun membawa kepada peningkatan permintaan tanah. Ianya berlaku
berikutan kepada keperluan tapak untuk tujuan pembinaan seperti kawasan
perindustrian bagi membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran,
pembinaan jalan raya bagi perhubungan yang lebih baik antara kawasan, kawasan
perumahan bagi menampung jumlah penduduk yang ramai dan banyak lagi
infrastruktur lain yang dibina bagi menjamin kehidupan yang selesa kepada
penduduk. Tahap pembangunan yang semakin pesat
kesan daripada pertumbuhan pesat populasi manusia menyebabkan tekanan yang kuat
terhadap sumber tanah.
Arus pembangunan yang
semakin berkembang menyebabkan perkembangan kepada bandar, pekan dan kampung.
Perkembangan ini mengubah luas dan saiz kawasan. Bukan setakat itu sahaja, guna
tanah kawasan sekitar juga akan turut berubah. Perebakan kawasan akan
menghubungkannya dengan kawasan lain, sebagai contoh perebakan kawasan bandar
akan menyebabkan pertembungan dengan sempadan kawasan sekitar seperti pekan
atau kampung. Jenis gunatanah juga akan turut berubah kerana biasanya guna tanah
disekitar bandar adalah untuk tujuan pertanian. Tetapi disebabkan perkembangan
yang berlaku, guna tanah untuk pertanian terpaksa dikorbankan untuk tujuan lain
seperti pembinaan petempatan atau infrastruktur lain.
Perkembangan merupakan
suatu perkara yang baik dan menunjukkan suatu kemajuan sedang dicapai. Tetapi ia
perlulah dirancang dengan teliti dan diseimbangkan dengan keperluan guna tanah
yang lain agar tiada kesan negatif yang berlaku. Peningkatan dalam populasi
penduduk dunia menyebabkan permintaan terhadap makanan turut meningkat. Keadaan
ini menimbulkan konflik dan persoalan tentang guna tanah mana yang perlu
diutamakan. Disebabkan tanah adalah terhad, keperluan terhadap guna tanah
pertanian dan petempatan adalah sama-sama penting.
Dasar kerajaan juga
menjadi penentu kepada perubahan guna tanah. Kebanyakan negara pada masa kini
lebih mengutamakan dasar pembangunan berikutan arus pembangunan global yang
semakin pesat dan demi meningkatkan status negara kepada negara maju. Bagi
mencapai tujuan ini maka guna tanah lain dikorbankan bagi tujuan pembangunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan